Saturday, 21 January 2017

Wacana Ekonomi Terengganu (Watan) Siri 1 Anjuran Pemuda AMANAH Terengganu lanca



Wacana Ekonomi Terengganu (Watan) anjuran Pemuda AMANAH Negeri berlangsung dengan jayanya di Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu pada 20 Januari lalu. Program yang menampilkan Ahli parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Syah Raja Ahmad dan Ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli membicarakan soal soal ekonomi Negeri Terengganu dan negara.

Raja Bahrin dalam sesinya telah mendedahkan angka semasa hutang negara yang semakin meningkat dan kini menghampiri RM800 bilion kesan kepincangan dan ketidakcekapan pentadbiran Perdana Menteri, Najb Razak. Raja Bahrin turut menyentuh pentadbiran kerajaan Negeri Terengganu yang gagal mengurus kewangan dengan betul, beliau mendakwa terlalu banyak projek besar yang membazir serta tidak memberi impak positif kepada ekonomi negeri seumpama projek kawasan bebas cukai di Tasik Kenyir. Raja Bahrin turut menyatakan rasa kesal apabila banyak potensi ekonomi yang tidak dibangunkan secara serius untuk menjana ekonomi negeri kuhususnya dalam bidang pelancongan  dan juga warisan seni budaya Terengganu seperti pembuatan tembaga,kapal dan juga batik yang dipandang sepi oleh kerajaan negeri sekarang.



Manakala Rafizi dalam sesi beliau banyak menekankan soal pentingnya melantik individu yang jujur dan beramanah dalam menerajui kewangan negara kerana menurut beliau kualiti hidup rakyat akan lebih baik sekiranya pihak yang dilantik untuk menjaga perbendaharaan negara tidak mencuri hak rakyat serta tegas memelihara hak hak rakyat. Ahli parlimen Pandan itu juga turut memberi saranan kepada orang muda untuk cuba memulakan aktiviti perniagaan sendiri pada era kemerosotan ekonomi dibawah pimpinan Barisan Nasional.

Wacana yang dikelolakan Biro Ekonomi Pemuda AMANAH Terengganu ini ternyata mampu menarik orang ramai untuk memenuhi dewan Bunga Raya, Hotel Tanjung Vista.

Pemuda AMANAH Negeri Terengganu dilihat cuba menghidupkan budaya ilmu dan dialog dalam kalangan rakyat negeri Terengganu, program seumpama ini misalnya, akan diteruskan demi mendidik rakyat dengan ilmu dan pengetahuan, Pemuda AMANAH Terengganu percaya, hanya melalui ilmu dan pengetahuan nasib sesuatu bangsa dapat diubah.


Thursday, 19 January 2017

Pemuda AMANAH Terengganu menyokong usaha JHEAT mencegah gejala sosial

Pemuda AMANAH Negeri Terengganu menyokong usaha Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan pasangan yang menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan mahram di negeri ini. Pasangan yang ditahan dipanggil menghadiri sesi kaunseling dan diberi amaran. Sekiranya mereka ingkar dan mengulangi kesalahan sama maka tangkapan akan dibuat.

Tindakan tersebut merupakan sebagai salah satu langkah untuk mencegah gejala sosial di negeri Terengganu yang mana diantara puncanya adalah kerana terdedah dengan hubungan bebas tanpa sekatan,

Pemuda AMANAH Terengganu percaya , tindakan yang dilaksanakan JHEAT adalah bertujuan untuk mengekang permasalahan sosial yang makin membarah dalam kalangan orang muda dan remaja di Negeri Terengganu.

Permasalahan ini pastinya akan menjejaskan kehidupan remaja itu sendiri, merendahkan martabat diri dan keluarga serta memberi gambaran yang buruk kepada masyarakat dan Negeri Terengganu sekiranya tidak dibendung.

"Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan" - Al Qashash ayat 77.

Di antara "kerosakan" yang ketara dalam kalangan anak muda sekarang adalah penyalahgunaan dadah dan seks bebas. Ini terbukti dengan meningkatnya statistik kelahiran anak luar nikah dari setahun ke setahun. Antara punca bertambahnya kelahiran anak luar nikah adalah disebabkan oleh pergaulan bebas hingga melupakan hukum agama dan tatasusila.

Kerana itu , adalah wajar, langkah seumpama menasihati dan mengambil tindakan terhadap pelaku kelakuan sumbang secara terbuka dilaksanakan, kita tidak mahu bersifat terlalu "bebas" sehinggakan kerosakan moral yang kronik berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

Furqan Amin
Timbalan Ketua Pemuda,
Pengarah Biro Penyelidikan Syariah
Pemuda AMANAH Negeri Terengganu

Sunday, 15 January 2017

Anti Takfiri Tour Bersama Ustaz Wan Ji





Anti Takfiri Tour merupakan satu jelajah yang bertujuan untuk mendidik ahli AMANAH dan masyarakat umumnya untuk menjauhi budaya takfiri (Kafir mengkafir). Pemuda AMANAH Negeri Terengganu menampilkan Ustaz Wan Ji Wan Husin, Exco Agama AMK Pusat dan juga merupakan bekas ajk ulama Pas Negeri Selangor.

Program ini merupakan inisiatif Biro Penyelidikan Syariah Pemuda AMANAH Terengganu dibawah Ustaz Furqan Amin. Pemuda AMANAH percaya, budaya takfiri adalah budaya yang mampu memecahbelahkan masyarakat bahkan hancurkan institusi keluarga, Pemuda AMANAH  menekankan peri pentingnya berpolitik secara matang tanpa perlu mengkafirkan mereka yang tidak sehaluan.

Program yang bermula 13 Januari 2017 sehingga 14 Januari 2017 bermula di Besut, dan berakhir di Kemaman.






Sunday, 8 January 2017

Raja Bahrin difitnah bercuti diluar negara saat negara dilanda bah


Sebuah portal berita internet, MyNewsHub telah mengeluarkan satu laporan berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang mendakwa beliau "leka bersantai di Kota Raya London. Sambil membawa anak dan isterinya , Noryn Aziz bercuti mewah di ibu kota United Kingdom itu, beliau masih boleh senyum cerita ketika ribuan penduduk di kawasannya sendiri berduka di pusat penempatan sementara".

Namun dakwaan ini ternyata merupakan satu fitnah yang besar kerana Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu telah turun padang membantu mangsa banjir sejak awal tahun baru lagi, segala perkembangan aktiviti beliau turut dimuatkan di dalam akaun media sosial milik beliau.

Raja Bahrin telah memulakan lawatan seawal 1 Januari lagi iaitu melawat sekolah yang terlibat banjir di sekitar Kuala Terengganu, disusuli dengan lawatan ke pusat perpindahan mangsa banjir di Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu. Ahli Parlimen AMANAH itu juga meneruskan aktiviti lawatan dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di dewan sivik Paka , Dungun pada 5 Januari dan turut melawat ke tempat perpindahan banjir di Kampung Durian Mentagau pada hari yang sama.

Pada 6 Januari, Raja Bahrin meneruskan lawatan ke Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu bagi menziarah dan memberi bantuan kepada mangsa banjir kawasan tersebut, diikuti pemberian bantuan banjir ke Kampung Pengkalan Merbau, Sungai Tong.

Beliau turut menyampaikan bantuan banjir di Kampung Banggol Setar pada tarikh yang sama, disusuli lawatan dan pemberian bantuan mangsa banjir ke Kampung Batu 13, Hulu Besut.

Pada 7 Januari 2017, Pengerusi AMANAH Negeri Terengganu itu turut mengadakan lawatan dan turun sendiri memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Tasek, Bukit Payung, Marang.

Bermula awal tahun 2017 sehingga tarikh artikel ini dikeluarkan, Raja Bahrin BERADA DI MALAYSIA semasa banjir berlaku dan melawat dan memberi bantuan kepada mangsa Banjir di 6 Daerah terlibat banjir di seluruh Negeri Terengganu. Sebarang dakwaan dan tuduhan yang mendakwa beliau bercuti mewah dan mengabaikan mangsa banjir merupakan satu fitnah jahat untuk merosakkan reputasi beliau sebagai seorang wakil rakyat.

Artikel yang telah disebar luas di media media sosial dan aplikasi komunikasi WhatApps sedikit sebanyak telah mencemarkan nama beliau dan portal terbabit wajar untuk membetulkan kembali tuduhan mereka serta mengeluarkan kenyataan permohonan maaf terhadap fitnah yang dikeluarkan.

Beberapa gambar sekitar lawatan Yang Berhormat Dato Raja Bahrin di seluruh daerah terjejas banjir Negeri Terengganu. Gambar lain boleh di rujuk Facebook rasmi beliau.












Tuesday, 13 December 2016

MENUJU EKONOMI YANG RAHMAH:MENJADIKAN INSTRUMEN HUTANG MENEPATI MAQASID SYARIAH

Hutang adalah satu bentuk instrumen yang tidak dapat diketepikan apabila kita bercakap tentang pengurusan ekonomi baik di peringkat mikroekonomi dan makroekonomi.instrumen hutang telah menjadi paksi kepada pengurusan ekonomi desawarsa kini.

Namun begitu,amalan berhutang yang keterlaluan dan tidak berlandaskan kepada syariat islam akan membawa bencana kepada sistem ekonomi itu sendiri.Pengurusan ekonomi negara yang mengadaptasi teori Keynes adalah satu perkara yang sangat dikesali.Teori Keynes yang menggalakkan supaya kerajaan berhutang demi mencapai guna daya penuh ekonomi telah pun dieksploitasi secara tidak terkawal oleh politikus-politikus.Hasilnya hutang negara menjadi tidak terkawal dan memberi natijah yang cukup buruk kepada kehidupan seharian rakyat.

Pada asalnya teori Keynes diadaptasi ketika  ekonomi negara berada di dalam kemelesetan,kerajaan berhutang  bagi menampung dan juga menyuntik kegiatan ekonomi supaya kembali bertumbuh.Rekod menunjukkan sejak belanjawan negara mencatatkan belanjawan defisit secara berterusan kecuali dalam tahun 1993-1997 di bawah Dato seri Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan.Belanjawan defisit telah menyebabkan kadar hutang semakin meningkat sehingga mencecah hampir separuh kdnk negara.Ini satu perkara yang menyedihkan kerana kerajaan telah bertindak untuk membentangkan belanjawan defisit walaupun pada waktu  tidak berlaku kemelesetan ekonomi.Ini akan mengakibatkan kejatuhan nilai mata wang dan inflasi yang membebankan rakyat.

Instrumen hutang mesti diurus mengikut syariat islam.Dalam islam konsep hutang adalah ketika perlu sahaja dan apabila berhutang hendaklah bersedia dan mampu untuk membayarnya kembali.Tatakelola pengurusan hutang telah diperincikan di dalam Al-Quran dalam surah Al-baqarah ayat 282 di mana Allah telah mengariskan syarat-syarat dan pengurusan hutang secara terperinci.Ini membuktikan bahawa instrumen hutang adalah suatu perkara yang mesti diambil serius dalam  pengurusan ekonomi negara.

Dalam menuju ekonomi rahmah,hutang tidak boleh dipandang sebagai instrumen untuk menjana keuntungan,hutang sepatutnya dilihat sebagai satu displin dan amanah bagi menjaga sistem ekonomi itu sendiri.Duit yang dipinjam oleh kerajaan untuk menyuntik ekonomi seharusnya digunakan secara amanah bertepatan dengan sebab musabab kepada hutang itu sendiri.Dan apabila sampai tempoh pembayaran maka hendaklah pembayaran itu dilunaskan mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

Dalam menjana ekonomi pula,eloklah kita mengambil ibrah daripada kisah mimpi raja mesir yang ditafsirkan oleh nabi Yusof a.s.Secara tersiratnya kisah ini mengajar kita untuk berhadapan situasi ketika ekonomi baik dan malap.Ketika ekonomi berkembang dengan baik,seharusnya pihak kerajaan mengukuhkan  rizab negara dengan membuat pelaburan dan penyimpanan secara bijak serta amanah.Pada masa ekonomi sedang berkrisis,rizab yang telah disimpan sebelum ini digunakan untuk menyuntik kembali ekonomi negara.


Justeru itu dalam situasi sekarang,untuk memulihkan kembali keadaan ekonomi negara yang menjunam,kita perlu kembali kepada pengurusan hutang yang telah disyariatkan oleh islam.Rakyat juga tidak harus digalakkan berhutang jika tidak ada apa-apa keperluan untuk berhutang.

Kesimpulannya dalam menuju ekonomi rahmah,konsep dan pengoperasian sistem ekonomi yang sejajar dengan syariat islam mesti diaplikasikan bagi memelihara maslahat negara dan rakyat.

AHMAD NADHIR YOB
PENGARAH BIRO HAL EHWAL EKONOMI
PEMUDA AMANAH TERENGGANU

Sunday, 4 December 2016

PEMELIHARAAN EKONOMI MEMBAWA KEPADA PEMELIHARAAN AGAMA

Di dalam perlaksanaan maqasid syariah,perkara yang menjadi tunjang kepadanya ialah memelihara agama,jiwa ,harta,akal dan keturunan.Kelima –lima perkara ini menjadi satu perkara yang penting dalam membumikan konsep islam sebagai rahmat sekalian alam.

Jika kita melihat dari konteks bagaimana untuk untuk memelihara agama sudah pasti secara tradisionalnya kita akan menjurus ke arah perlaksanaan undang-undang  bagi memastikan bahawa integriti agama itu tidak terusik atau terancam.Tetapi adakah kita sedar bahawa untuk memelihara agama dan memastikan bahawa setiap penganutnya mengamalkan agama itu tidak cukup dengan hanya tertumpu kepada perlaksanaan undang-undang semata –mata.

Kita perlu melihat dari sudut yang lebih meluas apabila kita membicarakan tentang perkara ini.Ini kerana sering berlaku ketidakseimbangan dalam fikiran dan tindakan kita dalam meletakkan keutamaan dalam menyusun tindakan kita dalam memelihara dan mempertahankan agama khususnya dalam konteks Malaysia.

 Melihat kepada tradisi perjalanan sesebuah sistem kenegaraan,kita tidak boleh menafikan bahawa kestabilan ekonomi sesebuah negara akan membawa kepada kestabilan sesebuah negara.Oleh itu dalam memastikan bahawa lunas-lunas agama dapat dipelihara maka aspek pemerkasaan ekonomi tidak boleh dipandang mudah oleh kepimpinan negara.

Kestabilan ekonomi negara secara makro dan mikro akan membawa kepada kestabilan sosial di peringkat akar umbi masyarakat.Oleh itu keutamaan yang lebih utama dalam konteks Malaysia dalam memelihara agama adalah dengan mengembalikan semula kestabilan ekonomi negara.

Tidak dinafikan bahawa implimentasi undang-undang adalah antara cara untuk mengurangkan kadar jenayah,tetapi tindakan ini tidak menghapuskan punca  sebenar berlakunya jenayah tersebut.

Kepimpinan harus melihat kepada penyelesaian masalah secara lebih menyeluruh,tidak hanya tertumpu kepada sesetengah aspek sahaja.Apa yang lebih utama ialah bagaimana pengoperasian ekonomi itu dapat memberi rahmah kepada setiap penduduk dan juga semua kehidupan termasuk haiwan,tumbuh-tumbuhan dan juga alam sekitar.

Justeru itu sebarang pemakaian dan implimentasi teori ekonomi dalam tadbir urus kewangan negara mestilah mengambil kira maslahah setiap unit yang terlibat dengan pengoperasian teori tersebut.Teori ekonomi yang bersifat menyeluruh dan rahmah akan menatijahkan keadaan sosio ekonomi serta sosio budaya yang stabil.Hasilnya agama itu sendiri akan terpelihara dari sebarang ancaman yang boleh merosakkan.

Apabila keadaan ekonomi sesebuah masyarakat itu stabil,maka penumpuan kepada usaha-usaha dakwah dan pengislahan dapat berjalan dengan lebih rancak dan tersusun.Usaha-usaha dakwah yang dijalankan dapat memberi kefahaman yang lebih jitu terhadap agama di kalangan masyarakat.Kesatabilan ekonomi  juga akan mengurangkan pemikiran yang melampau dalam pengamalan agama.Ini dibuktikan ketika zaman kegemilangan islam di mana kestabilan ekonomi menjadi faktor pembukaan lebih banyak negeri-negeri baru di bawah kerajaan islam.Budaya ilmu juga berkembang pesat kerana limpahan ekonomi membantu institusi akademik berkembang dengan pesat.

Kesimpulannya,dalam memastikan bahawa integriti agama itu sentiasa terpelihara,maka pengoperasian ekonomi yang rahmah serta bersifat lestari menjadi faktor utama yang menyumbang kepada pemeliharaan agama itu sendiri.

Ahmad Nadhir Yob
Pengarah biro hal ehwal ekonomi
Pemuda amanah Terengganu

Wednesday, 30 November 2016

INDUSTRI PERKAYUAN:KELESTARIAN EKONOMI DAN KELESTARIAN ALAM

Kedudukan Malaysia yang terletak berdekatan garisan khatulistiwa telah memberi banyak limpahan hasil masyul yang berharga.Iklim Khatulistiwa yang membentuk hutan hujan tropika telah memberikan banyak spesis kayu yang sangat berharga dari sudut ekonomi.

Sumber alam yang bernilai ini menjadi satu sumber ekonomi yang sangat bernilai kepada negara.Tetapi tanpa pengurusan yang betul industri ini boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar bahkan manusia juga.

Industri perkayuan mempunyai dinamikanya yang tersendiri dalam menyumbang kepda pertumbuhan ekonomi negara.Ia merupakan satu sumber yang  memerlukan satu pengurusan yang bertepatan dengan maqasid syariah kerana industri ini melibatkan kepentingan dan hak masyarakat.

Hutan menyediakan pelbagai sumber kepada masyarakat,bukan sahaja kayu bahkan sumber air dan juga habitat bagi haiwan,Hutan juga menjadi tempat tinggal dan sumber pendapatan bagi orang asal yang tinggal sejak ribuan tahun yang lalu.

Penebangan hutan secara tidak terkawal dan lestari akan menjejaskan sumber-sumber ini dan juga mengancam kehidupan orang asal.Ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan objektif syariah itu sendiri.Pelbagai masalah yang lain juga akan timbul seperti banjir yang menyebabkan kehilangan nyawa dan juga harta benda.

Adalah satu perkara yang amat dikesalkan apabila sesebuah kerajaan hanya mementingkan sumber pendapatan sahaja tanpa mengambil kira faktor-faktor ini.Dalam perlaksanaan syariah jelas dinyatakan supaya pemeliharaan alam sekitar dan juga  hak-hak manusia ke atas alam sekitar dipelihara

Dari sudut pengurusan ekonomi pula,Pengeluaran kayu mentah daripada hutan hanya menyokong sektor huluan bagi industri ini.Seperti yang diketahui sektor huluan sangat bergantung kepada sumber asli yang bersifat tidak kekal.Ia juga satu sumber yang tidak memberi kestabilan pendapatan kepada kerajaan sepanjang masa.

Faktor ini lah sepatutnya diambil kira oleh pihak kerajaan dalam menguruskan industri ini.Seharusnya pihak kerajaan juga memfokuskan kepada pemeliharaan sumber ini dan juga mengantikannya semula bagi menjamin kelestarian sumber dan juga pemeliharaan alam yang menjadi fokus maqasid syariah.kegagalan kerajaan dalam mengambil kira perkara ini akan menyebabkan pelbagai masalah timbul.

Industri perkayuan seharusnya mengalami proses transformasi setelah berpuluh puluh tahun bertapak di negara kita.Sektor hiliran seperti pembuatan perabot dan produk-produk perkayuan seharusnya lebih diperkasakan bagi menyokong industri ini agar dapat memberi pulangan yang lebih lumayan kepada kerajaan.

Sumber mentah seharusnya dipelbagaikan tidak hanya bergantung kepada sumber  di dalam negara sahaja.Sikap kerajaan yang lebih menumpukan kepada sektor huluan sahaja  juga akan menyebabkan wujudnya ketidakseimbangan dalam industri ini seterusnya akan menjejaskan prospek industri ini sendiri pada masa akan datang. Keseimbangan antara sektor huluan dan hiliran perlu dibuat bagi menjamin impak ekonomi yang positif pada rakyat

Pembangunan ekonomi itu seharusnya bersifat rahmah dan juga dapat betahan dengan segala bentuk cabaran yang mendatang.Industri perkayuan mestilah diuruskan supaya menjadi sebuah industri yang memberi rahmah kepada semua pihak yang terlibat.Sumber-sumber yang ada haruslah diperlihara dan juga dipastikan ia dapat bertahan dan juga lestari untuk genarasi akan datang.

AHMAD NADHIR BIN YOB
PENGARAH BIRO HAL EHWAL EKONOMI
PEMUDA AMANAH TERENGGANU